Thursday, December 31, 2009

Luhur dan Mulia panggilan menjadi seorang Ibu

Kenyataan bahawa keduaduanya boleh menjadi ibu merupakan pengalaman istimewa baik bagi Maria maupun Elizabeth. Maria menjadi ibu setelah dia menjawab “YA” kepada malaikat Gabriel yang memberitahukannya bahawa dia akan mengandung dan melahirkan seorang putera sekalipun dia tidak bersuami. Keterbukaan dan kerendahan hati untuk menerima rencana Tuhan itu supaya menjadi Bonda Penebus merupakan panggilan awal Maria sebagai Ibu.

Di pihak lain, Elizabeth adalah wanita yang sudah lama mempunyai kerinduan untuk menjadi seorang ibu. Dia sudah menantikan hal itu berpuluh-puluh tahun. Pada masa tuanya, Tuhan menganugerahkan kepadanya seorang putera iaitu Yohanes Pembaptis.

Kesedaran akan karya Tuhan yang begitu misterius di dalam dirinya menyebabkan dia bersorak dan berseru, “Siapakah aku ini sampai ibu Tuhanku datang mengunjungi aku?”

Baik Maria maupun Elizabeth sangat bangga akan panggilan mereka sebagai ibu. Panggilan mereka sebagai ibu sungguh membahagiakan.

Namun, di pihak lain, panggilan yang sama juga menuntut pengorbanan dari mereka. Pengalaman Maria sendiri menjadi saksi kebenaran akan pernyataan itu. Pengorbanan itu berawal dari kelahiran putera-Nya di kandang haiwan dengan Elizabeth. Yohanes yang bertumbuh, berkembang dan dipanggil menjadi nabi meninggalkan keluarganya dan hidup sendirian di padang gurun. Memang tidak dapat disangkal bahawa panggilan menjadi seorang ibu memerlukan pengorbanan besar.

Dewasa ini, panggilan menjadi ibu mengalami krisis, khususnya di dunia barat dan mungkin sudah mulai menjangkiti ke Asia, dan khususnya di Malaysia. Ada ramai orang yang tidak lagi mahu menjadi ibu kerana ianya sesuatu yang menyusahkan diri sendiri, sibuk dengan kerjaya dan tidak mau berkorban. Ada orang yang tidak mau menikah supaya tidak melahirkan anak dan ada pula orang yang menikah tetapi tidak ingin mendapatkan anak. Semua itu dilakukan atas nama kebebasan. Gejala yang demikian telah membawa persoalan tersendiri.

Sebuah filem dokumentasi pernah menceritakan kisah seorang bayi yang mempunyai tiga orang ibu yang berbeza. Ibu pertama merupakan seorang wanita yang menjual sel telur. Ibu yang kedua adalah pula ialah wanita yang ‘menyewakan’ rahimnya untuk pembuahan sel telur dan sperma. Ibu yang ketiga pula ialah wanita yang memelihara dan memiliki anak itu dengan membeli sel telur dari ibu pertama serta mencari seorang ibu yang sanggup ‘menyewakan’ rahimnya untuk melahirkan anak tersebut.


Persoalan di sini,
“Siapakah yang menjadi ibu sesungguhnya kepada anak itu?”
Namun, pertanyaan lebih serius ialah
“Bagaimana mungkin seorang anak manusia diperlakukan seperti barangan buatan?”


Menjelang pesta kelahiran Yesus di mana Maria akan menjadi seorang ibu, marilah kita berdoa untuk para ibu. Kiranya, mereka tetap melihat panggilannya sebagai sesuatu yang luhur mulia. Semoga mereka senantiasa menerima hiburan rohani dari peranan dan fungsi serta tugas yang dipikulnya itu.
Amin. — Paderi Valentine Gompok OFM Cap.

disalin dari Herald Malaysia untuk bacaan pengunjung.
rujukan;
MI 5:1-4; IBR 10:5-10 LUK 1:39-44

0 comments: